dpetik dari harian metro
Terengganu himpun monumen Islam
TIDAK perlu terbang ke India untuk melihat bukti cinta Shah Jahan di Agra, India atau kembara ke Istanbul, Turki untuk melihat kehalusan seni bina Kompleks Suleyman.
Juga tidak perlu memendam rasa untuk melihat Kubah As-Sakhra di wilayah bergolak Palestin.
Semuanya kini dipaparkan untuk tatapan pengunjung Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu sebagai tarikan pelancongan terbaru Bandaraya Warisan Persisir Air itu.
Bezanya, 21 monumen kegemilangan Islam itu 'dipersembahkan' dalam bentuk replika dalam skala 1:8 dalam taman yang dibangunkan dalam kos RM249.3 juta itu. Bahan dan perincian diutamakan dalam aspek pembinaan bagi memastikan ia 'menyalin' wajah monumen sebenar.
Taman tema menggabungkan ciri keindahan alam semula jadi dan seni bina termasuk pembinaan Masjid Kristal dan pusat konvensyen yang mula dibina pada Mac 2005 dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini.
Keindahan Masjid Nabawi, keagungan Taj Mahal atau kehebatan seni bina Alhambra mungkin sudah biasa kita dengar, tetapi 11 monumen berikut mempunyai kisah kegemilangan tersendiri.
MASJID SULEYMAN, Turki
Menjadi binaan tercantik ketika zamannya, Masjid Suleyman di Istanbul dibina antara 1550 dan 1157 Masihi. Reka bentuk kubah dan empat menara 'kurus' menjulang ke langit adalah ilham arkitek agung ketika zaman kegemilangan Empayar Ottoman, Sinan.
Dibina di puncak bukit, di dalamnya, mihrab dan mimbarnya diperbuat daripada marmar putih berukir dan cermin berwarna menyaring pancaran matahari.
Di taman ini, Suleyman dan isterinya membina musolla manakala Sinan membina makam untuknya. Kompleks masjid ini turut menempatkan empat madrasah, sekolah perubatan, rumah mandi Turki, dapur dan pusat perlindungan untuk pesakit.
MASJID XIAN, China
Masjid dengan seni bina Islam dan tradisional China ini dikatakan dibina oleh Laksamana Cheng Ho ketika zaman pemerintahan Dinasti Ming di China. Ia menjadi masjid tertua, terbesar dan paling terpelihara menjadi bukti penyebaran Islam di negara itu.
Bagaimanapun, replika yang dibina di Taman Tamadun Islam ini adalah menara di tengah kawasan Masjid Besar Xian. Seni binanya seakan pagoda atau tokong Buddha tetapi kedudukannya dibina menghadap kiblat.
MENARA KALYAN, Uzbekistan
Menara ini dibina kali kedua oleh Arshad Khan pada 1127 Masihi. Menara pertama runtuh akibat asasnya yang tidak sempurna. Menara yang pernah menjadi rumah api dan menara tinjau untuk mengelak serangan musuh ini binaan terbaik pada zaman berkenaan.
Menara Kalyan adalah contoh binaan kejuruteraan dan reka bentuk kegemilangan Islam dengan ketinggian 48 meter (m). Tarikan utamanya terletak pada menara seakan berpusing dari tapak ke puncak.
MASJID KUDUS MINAR, Indonesia
Batu pertama membina masjid di Jawa Tengah ini dikatakan diambil dari Baitul Maqdis. Tetapi ramai mengatakan masjid dengan gabungan seni bina antara Hindu dan Islam ini dibina menggunakan batu dari gunung berapi.
Selain binaan mirip candi yang menjadi identiti masjid ini, ia mempunyai lima tiang besar diperbuat daripada kayu jati dan 10 pintu masuk utama. Kolam mengambil wuduk berbentuk 'padasan' dikatakan peninggalan zaman purba.
MASJID BADSHAHI, Pakistan
Masjid ini dibina pada 1673 Masihi oleh Maharaja Aurangzeb Alamgir ketika zaman kegemilangan kerajaan Mongol. Ciri utama bangunan ini adalah pintu masuk yang dibina mengikut cara Mongol, menara bersegi lapan dan laman dalaman yang luas.
Masjid ini adalah masjid kedua terbesar di Pakistan selepas Masjid Faisal di Islamabad, boleh memuatkan sehingga 65,000 jemaah pada satu-satu masa.
MASJID MOHAMMAD ALI, Mesir
Arkitek berbangsa Turki, Yousf Boushnaq bertanggungjawab mereka bentuk bangunan untuk Mohamed Ali, pemerintah Mesir dari 1805 sehingga 1849 Masihi.
Pelannya berdasarkan Masjid Sultan Ahmed di Istanbul. Ia turut dikenali Masjid Pualam berikutan marmar putih yang bersinar menghiasi dinding luar dan dalamnya.
MASJID BESAR SAMARRA, Iraq
Masjid Besar Samarra dibina pada 842 masihi ketika pemerintahan Khalifah Abbasiyyah. Ia dibina di Kota Samarra yang menjadi antara empat kota suci Iraq dan dianggap kota lama terbesar dunia.
Ketika kurun ke-9, ia menjadi masjid terbesar boleh menempatkan sehingga 80,000 jemaah. Replika yang dibina di Taman Tamadun Islam ini adalah menara berpusing - Menara Malwira - di utara Masjid Besar Samarra.
MASJID BESAR QAIRAWAN, Tunisia
Dibina Uqba bin Nafi pada 670 Masihi, ia menjadi pusat Islam tertua di Tunisia. Bentuk dan saiz masjid ini menekankan ciri persaudaraan dan keikhlasan. Bangunan ini menjadi pusat kepada aktiviti dan permasalahan pemerintahan, pembelajaran dan ketenteraan.
ALHAMBRA, Granada, Sepanyol
Kota Alhambra adalah kubu dan istana kesultanan Moorish. Ia bermula dengan masjid yang dibina pada zaman pemerintahan awal Islam di Sepanyol. Antara 1283 dan 1354 Masihi, istana kerajaan Islam Sepanyol dibina di kota ini yang menjadikannya antara kesan peninggalan sejarah tercantik.
Alhambra mempunyai empat pintu masuk utama dan dilengkapi dengan beberapa dewan besar di beberapa bahagian. Dindingnya diukir dengan seni kaligrafi memuji kebesaran Allah.
MASJID BESAR AGADEZ, Nigeria
Masjid di daerah Air Massif di tengah Nigeria ini dibina pada kurun ke-16 ketika zaman pemerintahan Agadez. Hanya lumpur dan kayu digunakan untuk membina masjid ini, bahan binaan lazim untuk kebanyakan bangunan lama di benua Afrika.
Perancah kayu yang dipasang di keliling menara ini membolehkan kerja penyelenggaraan dijalankan dan mengelakkan bangunan ini daripada runtuh. Hari ini, kaedah sama masih diamalkan untuk memulihara bangunan berkenaan.
MAKAM ABU NASR, Afghanistan
Terletak di tengah Balkh central Park ini dibina bagi mengabadikan jasa dan ketua tokoh agama terkenal di Herat, Afghanistan iaitu Khawaja Abu Nasr Parsa. Ciri paling menarik adalah dua tiang berpusing di hadapannya dengan dinding, kubah, menara dan kaligrafi yang diperbuat daripada mozek biru.
INFO
MONUMEN UTAMA TTI
>Masjid Negara, Malaysia
>Masjid Nabawi, Madinah
>Masjid Kudus Mina, Indonesia
>Masjid Pusat Petani, Thailand
>Menara Kalyan, Uzbekistan
>Masjid Abu Nasr Pasra, Afghanistan
>Masjid Sheikh Lutfalla, Iran
>Masjid Besar Samarra, Iraq
>Masjid Mohamed Ali, Mesir
>Tugu Kompleks Suleyman, Turki
>Masjid Badshahi, Pakistan
>Masjid Besar Agadez, Nigeria
>Masjid Alepo Citadel, Syria
>Masjid Kul Sharif Tatarstan, Russia
>Masjid Xian di China
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment